Air Bersih Badan Sihat

Setiap hari kita disarankan mengambil antara lapan hingga 10 gelas air. Jumlah ini amat penting memandangkan 70 peratus daripada keseluruhan tubuh manusia terdiri daripada air. Air secukupnya diperlukan bagi menyahtoksik dalam badan, melincirkan sendi dalam sistem kerangka, menyokong sistem dan organ pencernaan, mengawal suhu badan dan menghantar nutrien serta oksigen ke sel-sel badan.

Namun, adakah kita benar-benar mematuhi saranan ini dan yakinkah kita bahawa air yang diminum setiap hari mampu menjalankan tanggungjawab yang disebut?

Jika air yang meliputi 70 peratus badan kita adalah bersih, maka sel badan akan mempunyai persekitaran sihat dan segar.

Air yang bersih dapat meningkatkan sistem imunisasi badan, menggalakkan metabolisme sel, mengurangkan risiko pertumbuhan sel-sel abnormal, menghalang penyebaran toksin dan mengurangkan risiko mendapat penyakit.


Air yang kita minum hari ini semakin tidak selamat kerana beberapa faktor. Antaranya pencemaran sumber air dan juga proses pengklorinan bagi menghasilkan air bersih yang disalurkan ke paip setiap rumah. Bahan kimia yang terbentuk ketika pengklorinan, menurut satu kajian yang pernah dijalankan, sangat berkait rapat dengan kecacatan bayi ketika lahir.

Pengklorinan dan penapisan mekanikal tidak dapat menghilangkan arsenik daripada air. Malah, merebus air boleh meningkatkan kandungannya lagi. Arsenik dalam minuman boleh mengundang risiko kanser dan penyakit paru-paru.

Kerana itu kita perlu memastikan air yang diminum dirawat dengan sepatutnya seperti menggunakan kaedah osmosis songsang yang terdapat pada penapis air tertentu
Satu ketika dahulu, kita semua tidak menghargai bekalan air yang terdapat dalam kuantiti yang banyak di muka bumi ini. Tetapi hari ini, air dikhuatiri semakin menjadi satu komoditi penting dan mungkin akan diletakkan pada harga yang tinggi atau lebih tinggi daripada petroleum.

Air adalah salah satu sumber yang paling bernilai di dunia tetapi sayangnya kita terus mengeksploitasikannya.

Banyak yang telah diperkatakan dan ditulis tentang air. Namun, kebanyakan daripada kita kurang menghargainya dan tidak ramai yang sedar bahawa banyak lagi fakta tentang air yang tidak diketahui orang.